

Dalam artikel sebelumnya, saya hanya menceritkan apa yang saya dengar dari ceramah ‘Dinar & Dirham: Uniting the Ummah’ oleh Umar Ibrahim Vadillo. Saya tidak menyatakan pendapat saya. Artikel kali ini, saya akan membentangkan secara terbuka pandangan saya tentang Dinar Emas & Dirham Perak. Sebelum itu, saya ingin membetulkan pendapat seorang blogger yang menggambarkan seolah-olah saya memberitahu semua orang bahawa hutang itu tidak Islamik. Saya tidak pun membuat penyataan sebegini rupa. Hutang semestinya dibolehkan. Peminjam adalah seorang yang mengharapkan sesuatu di luar kemampuannya dan Islam menggalakkan orang yang mempunyai lebihan untuk memberikan pertolongan pinjaman kepada yang berhajat.
Dinar Emas & Dirham Perak – apa bezanya dan apa yang boleh kita harapkan berbanding duit kertas (fiat money)? Untuk menjawab soalan ini, saya perlu membawa pembaca untuk kembali kepada sejarah. Dinar itu hanyalah pada nama. Yang penting sebenarnya adalah penggunaan satu benda yang mempunyai nilai sendiri secara semulajadi untuk dijadikan matawang. Perkara penting & asas yang ada pada emas & perak ialah dari sejak penemuannya, manusia secara semulajadi suka kepada emas & perak dan terus menganggapnya sebagai benda bernilai walau keadaan apa sekalipun (kemerosotan ekonomi, peperangan, wabak penyakit, bencana alam).
Kerana apa? Emas dan perak mempunyai nilai intrinsik secara semulajadi. Duit kertas tidak mempunyai nilai intrinsik. Nilainya ada kerana datang ‘secara paksa’ oleh kerajaan untuk digunakan oranng ramai sebagai matawang yang sah. Apabila datang satu fenomena luar biasa – peperangan, kemelesetan ekonomi global, rampasan / peralihan kuasa sebagai contoh, nilainya boleh turun secara mendadak dan sampai satu tahap, duit kertas boleh menjadi satu benda yang langsung tiada nilai. Sejarah sudah banyak menceritakan semua ini. Manusia yang tidak belajar dari sejarah akan terus melakukan kesilapan yang sama. Sejarah terus berulang.
Iraq sebagai contoh, ketika Saddam Hussein masih berkuasa duit kertas Iraq yang mempunyai gambar Saddam berfungsi seperti biasa sebagai matawang. Apabila rejim Saddam tumbang, matawang Iraq secara tiba-tiba menjadi langsung tidak bernilai. Orang ramai berebut-rebut untuk menukarkan duit kertas mereka kepada matawang lain. Huru-hara jadinya. Negara kita sendiri pun pernah terjadi. Ketika Jepun berkuasa, kita menggunakan duit Jepun. Apabila Jepun dikalahkan British, semua duit sebelumnya sudah menjadi ‘daun pisang’, langsung tidak bernilai. Itu contoh yang kita boleh lihat akibat peperangan dan peralihan kuasa.
Bagaimana dengan kemelesetan ekonomi? Jerman pada awal abad ke 20 telah mengalami kemelesetan ekonomi. Matawang mereka jatuh teruk. Ramai orang kebuluran dan pengangguran berleluasa. Perkara yang dianggap mengarut boleh terjadi kepada duit kertas telah terjadi. Nilai duit kertas susut ke satu tahap yang sangat tidak munasabah. Untuk membeli sebuku roti, rakyat Jerman terpaksa membayar sehingga 10,000 deutch mark. Ini mungkin gaji untuk berbulan-bulan yang hanya dapat dibelanjakan membeli makanan yang tidak sampai seminggu untuk dihabiskan. Contoh lain ada banyak lagi tetapi saya tidak mahu memanjangkan artikel semata-mata untuk memberikan contoh apa yang terjadi.
Dalam sejarah manusia yang pernah menggunakan emas, perak, atau benda lain yang berharga sebagai matawang tidak pernah terjadi perkara yang begitu teruk atau mengarut seperti apa yang terjadi kepada sistem matawang kertas. Sebabnya adalah mudah. Emas dan perak nilainya ada secara semulajadi dan tetap bernilai sepanjang masa walau apa keadaan sekalipun. Sejak dari permulaan manusia menemui emas perak dan saya boleh jamin sampai ke hari kiamat, emas dan perak tetap bernilai di hati manusia. Duit kertas pula, ia tidak mempunyai nilai secara sendiri dan nilainya boleh susut secara drastik apabila terjadi keadaaan-keadaan yang luar biasa.
Sejarah telah membuktikan, penggunaan emas & perak sebagai matawang telah menyebabkan inflasi / kenaikan harga sebagai hampir tiada. Katakan harga seeokor kambing adalah 1 Dinar Emas, 100 tahun kemudiannya harganya tetap 1 Dinar Emas. Ini bukan cerita rekaan saya. Ini adalah sejarah yang pernah terjadi. Dibandingkan dengan sistem matawang, jangankan 100 tahun, 5 tahun sahaja kita boleh tengok kenaikan harga banyak benda. Kenapa? Mesti ada sebab disebaliknya.
Baru-baru ini kita semua melenting apabila kerajaan menaikkan harga minyak. Di peringkat global, harga minyak naik. Tetapi yang pelik, kenapa harga minyak dunia naik walhal tidak adapun kekurangan bekalan minyak? Tidak adapun berlaku loji minyak terbakar secara besar-besaran. Tidak pula berlaku pengeluaran minyak dunia susut secara mendadak. Kenapa minyak tetap naik? Puncanya adalah kerana susutnya nilai US Dollar. Ini sudah beberapa kali terjadi. US dollar naik, harga minyak turun, US dollar turun, harga minyak naik. Apa kaitannya?
Urus niaga minyak dunia dijalankan menggunakan matawang US dollar. US dollar pula susut nilainya yang berpunca dari kelembapan ekonomi Amerika. Secara asasnya, untuk satu tong minyak yang sama memerlukan lebih banyak US dollar berbanding sebelumnya. Jika satu dunia menggunakan emas / perak sebagai matawang dan pembelian minyak dilakukan menggunakan emas / perak, perkara sebegini tidak terjadi. Mungkin harga minyak dunia boleh naik kerana faktor demand & supply. Demand lebih dan supply kurang dan pengeluar minyak boleh mengambil kesempatan untuk menaikkan harga minyak. Tetapi sekurang-kurangnya kita tidak merasai kenaikan harga minyak yang berpunca kerana urusniaga yang dijalankan menggunakan matawang kertas US Dollar!!
Seperti yang saya katakan pada permulaan artikel, yang penting bukanlah dinar & dirham kerana dinar dan dirham itu hanyalah nama semata-mata. Yang saya ingin tekankan di sini ialah penggunaan semula emas dan perak sebagai matawang. Tetapi untuk kearah penyatuan umat Islam, tidak salah untuk kita menggunakan emas yang dipanggil dinar dan perak yang dipanggil dirham sebagai satu matawang. Semuanya berkongsi satu nama yang sama. Usaha kearah mengembalikan semula emas dan perak secara serius telah bermula sejak dua dekad lalu.
Di peringkat antarabangsa, sudah ada negara Islam yang mengeluarkan dinar emas dan perak. Mungkin belum sepenuhnya menggantikan wang sedia ada, tetapi sekurang-kurangnya sudah ada yang menjalankan urusan zakat, perkahwinan, simpanan menggunakan dinar emas dan dirham perak. Di Malaysia pun sudah ada. Kelantan adalah negeri yang tampak lebih serius dengan mengeluarkan dinar emas Kelantan dan pada masa yang sama menggalakkan rakyatnya untuk menggunakannya dalam mas kahwin, zakat dan simpanan peribadi.