Isnin, 2008 Ogos 18

Mubahalah Saiful: Anwar Bila Lagi?


Saiful Bukhari telah bersumpah disaksikan jutaan rakyat Malaysia di kaca televesyen. Sumpah laknat (mubahalah) yang dilakukan di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta pada pukul 6.25 petang Jumaat lalu telah disaksikan oleh bapanya Azlan, ahli-ahli keluarganya, imam masjid, Ramlang Porigi dan para pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Bagi sesetangah pihak yang mempertikaikan sumpah Saiful, mereka berpendapat dalam Islam tidak ada sumpah dengan memegang atau menjunjung Al-Quran. Perkara ini memang betul. Sumpah sambil memegang Al-Quran ini sememangnya tiada dalam Islam. Kita terikut dengan cara barat yang diadaptasi ke dalam cara kita bersumpah. Rata-rata orang Melayu dari dahulu lagi berpendapat, apabila hendak bersumpah kita perlu menyentuh atau menjunjung Al-Quran. Fahaman ini perlu diperbetulkan.

Sumpah yang dilakukan oleh Saiful ada sedikit cacat. Kecacatannya bukan kerana Saiful bersumpah dengan meletakkan tangan kanan atau kiri di atas Al-Quran. Saiful sebenarnya langsung tidak perlu meletakkan tangannya di atas Al-Quran. Ini cara bersumpah orang Barat. Akan tetapi, hanya kerana Saiful bersumpah sambil memegang Al-Quran tidak boleh dikatakan sumpah Saiful boleh dipertikaikan. Lafaz sumpah atas nama Tuhan sudah pun dilakukan. Saiful sudah pun melafazkan,

“Bismillahir rahmanir rahim. Pada hari ini, 15 Ogos 2008, saya Mohd. Saiful Bukhari Azlan, nombor kad pengenalan 850706-01-5687, sesungguhnya dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang berikrar dan bersumpah seperti berikut:
“A'uzubillahi minas syaitanir rajim. Bismillahir rahmanir rahim. Wallahi, Wabillahi, Watallahi. Saya bersumpah bahawa saya telah diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun 2008 iaitu pada tarikh tersebut Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memasukkan zakarnya ke dalam lubang dubur saya.
“Jika saya berdusta atas pengakuan ini, maka saya berdusta terhadap Allah SWT dan saya sanggup menerima azab, dilaknat dan kutukan daripada Allah SWT sehingga kiamat. Wallahualam.”

Lafaz sumpahnya sudah ada. Saiful sudah pun bersumpah dengan nama Tuhan. Jika dia menipu, laknat Tuhan ke atas dirinya. Orang ramai kini ternanti-nanti bila pula Anwar Ibrahim akan melakukan mubahalah (sumpah laknat) sama seperti yang dilakukan Saiful.

Khamis, 2008 Julai 24

Jin, Syaitan dan Masyarakat Melayu


Pocong, langsuir, pontianak, hantu raya, jenglot, bunian dan pelbagai lagi makhlus halus yang sinonim dengan masyarakat Melayu sebenarnya adalah kelompok makhluk yang sama yang digelar sebagai jin. Ada antara yang disebutkan di atas adalah syaitan. Syaitan itu sebahagian daripada jin.

Iblis yang kita sedia maklum mempunyai dendam yang mendalam terhadap Nabi Adam a.s. dan cucu-cicitnya (manusia) juga merupakan golongan jin. Sejarah Iblis agak istimewa berbanding jin yang lain. Iblis merupakan satu-satunya jin yang dilantik untuk menjadi ketua seluruh malaikat walaupun Iblis bukannya seorang malaikat.

Ketaatan dan amal ibadat yang tinggi mengangkat Azazil (nama asal Iblis) menjadi ketua para Malaikat. Jin dijadikan daripada api. Malaikat daripada cahaya. Manusia daripada tanah. Ciptaan daripada api dianggap lebih mulia daripada tanah. Perintah Tuhan untuk sujud kepada Adam tidak dipatuhi Azazil. Serta-merta, kemuliaannya sebagai ketua malaikat dilucutkan dan gelaran Iblis Laknatullah diberikan.

Dendam kepada Adam diturunkan kepada anak cucu-cicitnya. Setelah dijanjikan Tuhan untuk mendapat umur yang panjang dan boleh hidup sehingga kiamat, Iblis bersumpah untuk menyesatkan seluruh anak adam (manusia) sedaya-upaya. Penyesatan kepada manusia itu pelbagai bentuk.

Masyarakat Melayu yang hampir 100% beragama Islam seperti manusia lain yang tidak terlepas dari penyesatan. Yang ingin saya fokuskan di sini ialah tentang penyesatan dalam bentuk mempersekutukan Tuhan dengan makhluk jin. Dalam Islam, ini dipanggil syirik.

Sedar atau tidak sedar, ramai di kalangan orang Melayu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam aktiviti berunsur syirik. Yang melibatkan diri secara langsung, akhirnya makan diri sendiri dan menyusahkan anak cucu di kemudian hari.

Kebanyakan orang Melayu sudah biasa mendengar tentang saka. Apa itu saka? Kerana terlalu mengikutkan nafsu untuk jadi kaya, untuk jadi tampan dan cantik secara tidak semulajadi, untuk jadi gagah perkasa sekelip mata, telah berhubung secara langsung dengan jin untuk memenuhi impian mereka. Susuk untuk jadi menarik dan manis hanyalah keindahan wajah palsu yang menipu pandangan mata kasar manusia.

Bagi yang ingin kaya cepat, nombor ekor dan rompakan secara halus antara yang menjadi pertaruhan. Yang hendak memenangi wang besar nombor ekor, dikatakan perlu mengunjungi kubur atau makam sekian-sekian pada waktu malam sambil membaca mentera. Kemudian akan datanglah 'atuk' atau 'nenek' yang akan memberikan nombor bertuah 4 digit, 5 digit kepada cucu-cucu untuk menjadi kaya-raya. Yang hendak menjadi perompak professional pula, jin yang biasanya dipanggil toyol digunakan untuk menjadi perompak upahan yang memang sama sekali tidak dapat dikesan oleh pihak polis.

Lain pula cerita tentang orang yang hendak jadi kuat dengan cara yang mudah dan ekpres. Ada tok guru silat yang memberitahu anak muridnya yang langsung tidak pernah bersilat tetapi setelah diajar mentera tertentu, si anak murid terus membuka langkah seperti seorang pendekar. Ada juga tok guru yang memberitahu kononnya roh Hang Tuah, Hang Jebat boleh dipanggil untuk meresap ke dalam badan dan membolehkan kita bersilat seperti pahlawan Melayu.

Secara logiknya, orang yang sudah mati tidak boleh dipanggil meresap ke dalam tubuh orang yang bernyawa. Yang dipanggil itu sebenarnya bukan Hang Tuah atau Hang Jebat, tetapi jin yang berjaya memperbodohkan manusia.

Untuk menjadi cantik, kaya, atau kuat seperti semua di atas melibatkan perjanjian manusia dan jin. Jin akan memenuhi hajat si pemanggil dan sebagai timbal balas, orang itu perlu melakukan perkara-perkara tertentu yang biasanya bertentangan dengan hukum syarak. Apabila orang ini mati, jin yang sudah biasa berdamping dengannya akan berusaha untuk mencari salah seorang waris si mati (anak-anak, cucu, abang, adik dan lain-lain) untuk meneruskan apa yang dilakukan oleh si mati dahulu. Jin yang mengejar waris si mati inilah yang dinamakan saka.

Rabu, 2008 Julai 16

Debat Anwar vs Shabery


Malam tadi saya pasti ramai rakyat Malaysia yang menonton siaran debat 'Hari ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak', Anwar vs Shabery. Debat yang dijalankan sama seperti format debat calon Presiden Amerika. Kalau di Amerika setiap kali pilihanraya presiden, debat antara calon presiden dari Democrats vs calon Republican akan dipertontonkan secara langsung ke seluruh Amerika. Debat mungkin lebih daripada sekali sebelum pilihanraya bergantung kepada persetujuan kedua-dua pihak.

Di Malaysia, ini pertama kali debat sebegini disiarkan. Ini ekoron rakyat merasakan perlu untuk tahu lebih lanjut kewajaran kenaikan harga minyak. Di pihak Pakatan Rakyat pula, Anwar nampaknya menjuarai isu ini. Akhirnya, debat Menteri Penerangan vs Ketua Umum PKR pun dijalankan. Di dalam dewan debat berlangsung, dapat dilihat Ahli Parlimen PKR turun padang untuk memberi sokongan kepada ketua mereka.

'Opening statement' Anwar vs Shabery melihatkan Shabery agak kurang 'points' dan lebih menumpukan untuk menyerang peribadi lawan. Opening statement Anwar lebih meyakinkan. Bagaimana minyak boleh diturunkan secara umum dinyatakan. Wakil Shabery, Nordin Kardi yang bertanyakan soalan lebih menjengkelkan. Tidak habis-habis dengan 'premis'nya dan nampak seperti seseorang yang ingin mematikan pihak lawan dalam pertandingan debat sekolah menengah.

Walaupun kedua-kedua kuat dengan hujah masing-masing, saya nampak hujah Anwar lebih kuat dan meyakinkan. Bukan kerana cara Anwar berhujah atau ekspresi mukanya, tapi lebih kepada 'points' yang lebih kuat yang dibawa. Anwar dengan jelas menyatakan RM 5 billion tambahan diperlukan untuk menurunkan harga minyak sebanyak 50sen daripada harga sekarang. Kenaikan harga yang mendadak, tidak boleh diturunkan harga dengan mendadak.

Pengurangan subsidi boleh dilakukan dengan mengurangkan/menjimatkan penggunaan bahan bakar untuk menjana elektrik. Tenaga Nasional Berhad (TNB) dikatakan mempunyai “excess capacity” yang melebihi 1000 MW. Penjimatan kos ini juga boleh membuatkan tarif elektrik diturunkan. Ini bersangkut paut dengan perjanjian asal TNB & IPP yang dikatakan perlu di'review' kembali kerana selama ini perjanjian ini nampak sangat menguntungkan sebelah pihak.

Tentang hujah korupsi, saya tidak beberapa setuju. Adakah apabila Anwar berkuasa, kehilangan RM330 bilion (USD90 bilion) yang lesap kerana amalan rasuah boleh dihapuskan terus atau dikurangkan secara mendadak? Begitu juga dengan ketirisan subsidi diesel RM 70 juta. Kerana kenaikan global harga minyak yang agak luar biasa tahun ini, keuntungan Petronas pun naik lebih (untung bersih RM 61 billion) dibandingkan tahun lepas. Mungkin kerana ingin berkongsi mengurangkan beban rakyat, Petronas telah mengumumkan dividen tambahan RM 6 billion kepada kerajaan. Sekarang terpulang kepada kerajaan. Mungkin 1,2 atau 3 billion ringgit boleh digunakan untuk menstabilkan harga minyak sekarang.

Shabery yang banyak kali cuba membangkitkan nostalgia kenangan aktivit Anwar nampak lari dari topik asal perdebatan. Mungkin sekali-sekala dan tidak terlalu panjang boleh diterima. Tetapi serangan peribadi yang berulang-ulang menampakkan kelemahan sendiri yang tidak banyak 'points' bernas untuk diutarakan.

*Nota Tambahan

Semalam berdebat, hari ini 16 Julai Anwar telah pun ditahan polis dan dibawa ke IPK, Kuala Lumpur.
Anwar telah dibebaskan pagi ini 17 Julai atas jaminan polis.

Rabu, 2008 Julai 09

Huru-hara Urusan Agama di Selangor


Sabtu yang lepas - 5 Julai saya telah menghadiri satu majlis akad nikah yang berlangsung di salah sebuah masjid di Klang. Jurunikah merupakan Imam Besar masjid berkenaan manakala dua orang saksi daripada jawatankuasa masjid.

Sebelum nikah bermula, salah seorang hadirin yang datang bertanya kepada jurunikah samada berlaku apa-apa perubahan kepada jawatankuasa masjid. Jurunikah agak hairan kenapa hadirin tersebut berminat hendak tahu. Orang yang bertanya kemudian memperkenalkan diri sebagai seorang pegawai di Lembaga Zakat Selangor.

Katanya, sejak perubahan kerajaan di Selangor urusan pentadbiran agama agak kucar-kacir sedikit. Kerajaan yang baru ingin melantik jawatankuasa masjid yang baru. Sultan tidak memperkenankan perubahan jawatankuasa masjid yang ada. Baginda mahu jawatankuasa masjid sekarang meneruskan tugas mereka sehingga habis tempoh berkhidmat mereka tahun depan. Apa yang saya perhatikan sekarang ini, sudah ada masjid dan surau yang menjadikan ADUN atau Ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat sebagai penceramah di beberapa kawasan di Selangor.

Berkenaan zakat pula, pengagihan zakat terganggu kerana kerajaan Selangor ingin menilai kembali penerima zakat. Mungkin kerajaan yang baru merasakan ada penerima zakat yang tidak layak. Ini telah menyebabkan penangguhan bantuan zakat kepada penerima.

* Nota tambahan

Menteri Besar Selangor telah pun diarahkan oleh Sultan supaya memastikan rumah-rumah ibadat tidak disalaghunakan untuk tujuan politik.

Sementara itu, Pakatan Rakyat dikatakan telah bercadang untuk membangkitkan usul tidak percaya kepada Pak Lah pada hari Isnin ini, 14 Julai di Parlimen. Anwar dijangka turut hadir untuk menyaksikan usul dibentangkan. Dikatakan akan ada beberapa Ahli Parlimen BN yang akan menyokong usul berkenaan.

Polis telah membuat sekatan jalan raya sekitar Kuala Lumpur dan Selangor semenjak Sabtu, 12 Julai. Polis telah mendapat perintah mahkamah untuk tidak membenarkan Anwar dan penyokongnya mendekati dalam jarak 5 km dari Parlimen. Ini untuk menghalang Anwar menghadiri Parlimen menyaksikan usul tidak percaya Pakatan Rakyat kepada pentadbiran Pak Lah dibentangkan pada pagi ini, 14 Julai.

Usul tidak percaya telah ditolak Speaker Dewan Rakyat. Ahli Parlimen Pakatan Rakyat bertindak keluar dewan kerana tidak berpuashati.

Isnin, 2008 Jun 30

Tuduhan Liwat ke atas Anwar Ibrahim


Negara digemparkan sekali lagi dengan tuduhan liwat ke atas Anwar Ibrahim. Tuduhan dilakukan oleh bekas pembantu kanan beliau, Mohd Saiful Bukhari Azlan di Balai Polis Trevers. Anwar melalui kenyataan yang dibacakan pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut. Beliau menambah bahawa ini adalah satu lagi plot terancang oleh pemimpin Barisan Nasional (BN) yang korup.

Tuduhan liwat tersebut telah mengundang pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak. Murshidul Am PAS, Nik Aziz tidak menolak kemungkinan ini adalah konspirasi politik yang dilakukan oleh orang-orang yang 'tidak beriman'. Allah Taala akan kenakan bala ke atas orang yang menuduh, ujar beliau.

Perdana Menteri, Pak Lah sudah awal-awal menafikan sebarang pembabitannya. Beliau sudah memberitahu kepada semua tidak terfikir beliau sama sekali untuk menjatuhkan Anwar Ibrahim dengan sedemikian rupa. Apapun, penyiasatan polis tetap diteruskan.

Sementara itu, PKR telah bercadang untuk mengadakan perhimpunan menyokong Anwar Ibrahim, 'Selamatkan Malaysia, Keadilan untuk Anwar' di Parlimen tengah hari ini sewaktu sesi berehat Parlimen. Semua aktivis dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan dijemput berkumpul di Parlimen pada jam 12.45 tengah hari.

Pemimpin PKR telah dimaklumkan tentang maklumat daripada beberapa sumber termasuk dari Unit Perisikan sebuah negara jiran tentang cubaan untuk membunuh Anwar Ibrahim di mana beberapa orang pembunuh upahan telah dibawa masuk baru-baru ini.

Malam tadi Anwar Ibrahim telah mengadakan perbincangan tertutup dengan pemimpin PKR di Quality Inn. Pagi ini beliau telah kembali ke kedutaan Turki. Sebelum itu, beliau ada mengatakan bahawa beliau menerima pelawaan beberapa kedutaan negara-negara Arab untuk memberi perlindungan kepadanya. Beliau memilih Turki kerana hubungan yang rapat di samping pernah berkhidmat sebagai penasihat ekonomi kepada negara tersebut.

Anwar Ibrahim meminta kerajaan memberi jaminan keselamatan kepadanya. Semenjak pilihanraya 8 Mac, beliau mendapat bukti-bukti yang boleh dipercayai daripada orang-orang dalam kerajaan dan tentera bahawa agen pemimpin BN telah merancang untuk melakukan sesuatu kepada beliau, keluarganya dan penyokong-penyokongnya. Tuduhan terbaru ini tidak lebih daripada usaha untuk menyekat kemaraan beliau dalam usaha membawa kebebasan dan keadilan untuk Malaysia.

Saiful Bukhari dilaporkan membuat kenyataan seperti berikut, “Saya Mohd Saiful Bukhari b Azlan ingin melaporkan bahawa saya telah diliwat oleh majikan saya. Perkara ini berlaku tanpa kerelaan saya. Kejadian terakhir berlaku 26/6/08 di Unit 1151, Kondominium Desa Damansara, Jln Setia Kasih, KL. Oleh itu, tujuan laporan ini dibuat untuk mendapat pembelaan dan keadilan keatas diri saya. Saya juga berasa bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga saya jika perkara ini tersebar luas di khalayak ramai. Majikan saya Dato Seri Anwar Ibrahim - Ketua Umum PKR.”
*Saiful - Gambar kanan di atas, berbaju biru. Di sebelahnya, Khairil Anas Yusof - pegawai khas Timbalan Perdana Menteri, Najib.

Isnin, 2008 Jun 23

Protes Kenaikan Harga Minyak: Berbasikal ke Parlimen


4 orang Ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat telah berkonvoi hari ini dengan menaiki basikal dari Bank Negara jam 9.30 pagi ke Parlimen. Mereka tiba di sana lebih kurang 10 minit kemudian.

Mereka yang terlibat ialah: YB Tian Chua (Batu), YB Hee Loy Sian (Petaling Jaya Selatan) ,YB Gobalakrisnan (Padang Serai) & YB Zulkifli Noordin (Kulim Bandar Baru).

Semalam, dalam blognya YB Zulkifli Nordin sudah memberitahu yang beliau bersama 3 orang Ahli Parlimen, Pakatan Rakyat akan berbasikal ke Parlimen sebagai tanda berkongsi kepayahan bersama rakyat.

Kalau betul hendak berkongsi kepayahan bersama rakyat, diharap semua Ahli Parlimen di atas akan terus berbasikal setiap kali menghadiri sidang Parlimen sehingga pilihanraya seterusnya. Kepayahan rakyat memang patut dirasa bersama oleh pemimpin. Bak kata YB Zulkifli Nordin setelah selesai berbasikal ke Parlimen, "Boleh tahan jugak nak mengayuh ke Parlimen. Berpeluh ketiak." Harapan saya semoga semua ahli Parlimen di atas akan terus berbasikal ke Parlimen. Kita tunggu dan lihat.

Ahad, 2008 Jun 15

Gold Dinar & Silver Dirham: Pandangan Saya



Dalam artikel sebelumnya, saya hanya menceritkan apa yang saya dengar dari ceramah ‘Dinar & Dirham: Uniting the Ummah’ oleh Umar Ibrahim Vadillo. Saya tidak menyatakan pendapat saya. Artikel kali ini, saya akan membentangkan secara terbuka pandangan saya tentang Dinar Emas & Dirham Perak. Sebelum itu, saya ingin membetulkan pendapat seorang blogger yang menggambarkan seolah-olah saya memberitahu semua orang bahawa hutang itu tidak Islamik. Saya tidak pun membuat penyataan sebegini rupa. Hutang semestinya dibolehkan. Peminjam adalah seorang yang mengharapkan sesuatu di luar kemampuannya dan Islam menggalakkan orang yang mempunyai lebihan untuk memberikan pertolongan pinjaman kepada yang berhajat.

Dinar Emas & Dirham Perak – apa bezanya dan apa yang boleh kita harapkan berbanding duit kertas (fiat money)? Untuk menjawab soalan ini, saya perlu membawa pembaca untuk kembali kepada sejarah. Dinar itu hanyalah pada nama. Yang penting sebenarnya adalah penggunaan satu benda yang mempunyai nilai sendiri secara semulajadi untuk dijadikan matawang. Perkara penting & asas yang ada pada emas & perak ialah dari sejak penemuannya, manusia secara semulajadi suka kepada emas & perak dan terus menganggapnya sebagai benda bernilai walau keadaan apa sekalipun (kemerosotan ekonomi, peperangan, wabak penyakit, bencana alam).

Kerana apa? Emas dan perak mempunyai nilai intrinsik secara semulajadi. Duit kertas tidak mempunyai nilai intrinsik. Nilainya ada kerana datang ‘secara paksa’ oleh kerajaan untuk digunakan oranng ramai sebagai matawang yang sah. Apabila datang satu fenomena luar biasa – peperangan, kemelesetan ekonomi global, rampasan / peralihan kuasa sebagai contoh, nilainya boleh turun secara mendadak dan sampai satu tahap, duit kertas boleh menjadi satu benda yang langsung tiada nilai. Sejarah sudah banyak menceritakan semua ini. Manusia yang tidak belajar dari sejarah akan terus melakukan kesilapan yang sama. Sejarah terus berulang.

Iraq sebagai contoh, ketika Saddam Hussein masih berkuasa duit kertas Iraq yang mempunyai gambar Saddam berfungsi seperti biasa sebagai matawang. Apabila rejim Saddam tumbang, matawang Iraq secara tiba-tiba menjadi langsung tidak bernilai. Orang ramai berebut-rebut untuk menukarkan duit kertas mereka kepada matawang lain. Huru-hara jadinya. Negara kita sendiri pun pernah terjadi. Ketika Jepun berkuasa, kita menggunakan duit Jepun. Apabila Jepun dikalahkan British, semua duit sebelumnya sudah menjadi ‘daun pisang’, langsung tidak bernilai. Itu contoh yang kita boleh lihat akibat peperangan dan peralihan kuasa.

Bagaimana dengan kemelesetan ekonomi? Jerman pada awal abad ke 20 telah mengalami kemelesetan ekonomi. Matawang mereka jatuh teruk. Ramai orang kebuluran dan pengangguran berleluasa. Perkara yang dianggap mengarut boleh terjadi kepada duit kertas telah terjadi. Nilai duit kertas susut ke satu tahap yang sangat tidak munasabah. Untuk membeli sebuku roti, rakyat Jerman terpaksa membayar sehingga 10,000 deutch mark. Ini mungkin gaji untuk berbulan-bulan yang hanya dapat dibelanjakan membeli makanan yang tidak sampai seminggu untuk dihabiskan. Contoh lain ada banyak lagi tetapi saya tidak mahu memanjangkan artikel semata-mata untuk memberikan contoh apa yang terjadi.

Dalam sejarah manusia yang pernah menggunakan emas, perak, atau benda lain yang berharga sebagai matawang tidak pernah terjadi perkara yang begitu teruk atau mengarut seperti apa yang terjadi kepada sistem matawang kertas. Sebabnya adalah mudah. Emas dan perak nilainya ada secara semulajadi dan tetap bernilai sepanjang masa walau apa keadaan sekalipun. Sejak dari permulaan manusia menemui emas perak dan saya boleh jamin sampai ke hari kiamat, emas dan perak tetap bernilai di hati manusia. Duit kertas pula, ia tidak mempunyai nilai secara sendiri dan nilainya boleh susut secara drastik apabila terjadi keadaaan-keadaan yang luar biasa.

Sejarah telah membuktikan, penggunaan emas & perak sebagai matawang telah menyebabkan inflasi / kenaikan harga sebagai hampir tiada. Katakan harga seeokor kambing adalah 1 Dinar Emas, 100 tahun kemudiannya harganya tetap 1 Dinar Emas. Ini bukan cerita rekaan saya. Ini adalah sejarah yang pernah terjadi. Dibandingkan dengan sistem matawang, jangankan 100 tahun, 5 tahun sahaja kita boleh tengok kenaikan harga banyak benda. Kenapa? Mesti ada sebab disebaliknya.

Baru-baru ini kita semua melenting apabila kerajaan menaikkan harga minyak. Di peringkat global, harga minyak naik. Tetapi yang pelik, kenapa harga minyak dunia naik walhal tidak adapun kekurangan bekalan minyak? Tidak adapun berlaku loji minyak terbakar secara besar-besaran. Tidak pula berlaku pengeluaran minyak dunia susut secara mendadak. Kenapa minyak tetap naik? Puncanya adalah kerana susutnya nilai US Dollar. Ini sudah beberapa kali terjadi. US dollar naik, harga minyak turun, US dollar turun, harga minyak naik. Apa kaitannya?

Urus niaga minyak dunia dijalankan menggunakan matawang US dollar. US dollar pula susut nilainya yang berpunca dari kelembapan ekonomi Amerika. Secara asasnya, untuk satu tong minyak yang sama memerlukan lebih banyak US dollar berbanding sebelumnya. Jika satu dunia menggunakan emas / perak sebagai matawang dan pembelian minyak dilakukan menggunakan emas / perak, perkara sebegini tidak terjadi. Mungkin harga minyak dunia boleh naik kerana faktor demand & supply. Demand lebih dan supply kurang dan pengeluar minyak boleh mengambil kesempatan untuk menaikkan harga minyak. Tetapi sekurang-kurangnya kita tidak merasai kenaikan harga minyak yang berpunca kerana urusniaga yang dijalankan menggunakan matawang kertas US Dollar!!

Seperti yang saya katakan pada permulaan artikel, yang penting bukanlah dinar & dirham kerana dinar dan dirham itu hanyalah nama semata-mata. Yang saya ingin tekankan di sini ialah penggunaan semula emas dan perak sebagai matawang. Tetapi untuk kearah penyatuan umat Islam, tidak salah untuk kita menggunakan emas yang dipanggil dinar dan perak yang dipanggil dirham sebagai satu matawang. Semuanya berkongsi satu nama yang sama. Usaha kearah mengembalikan semula emas dan perak secara serius telah bermula sejak dua dekad lalu.

Di peringkat antarabangsa, sudah ada negara Islam yang mengeluarkan dinar emas dan perak. Mungkin belum sepenuhnya menggantikan wang sedia ada, tetapi sekurang-kurangnya sudah ada yang menjalankan urusan zakat, perkahwinan, simpanan menggunakan dinar emas dan dirham perak. Di Malaysia pun sudah ada. Kelantan adalah negeri yang tampak lebih serius dengan mengeluarkan dinar emas Kelantan dan pada masa yang sama menggalakkan rakyatnya untuk menggunakannya dalam mas kahwin, zakat dan simpanan peribadi.