Sabtu, 25 Jun 2011

Buku Pertama


3 tahun menulis, akhirnya buku pertama siap berada di pasaran. Penat. Itu gambaran paling sesuai untuk buku pertama. Untuk 1 tahun setengah yang pertama, tidak sampai 40% penulisan untuk buku siap. Saya tulis sedikit demi sedikit. Ada masa hujung minggu saya tulis, ada masa tidak. Selepas siap, penerbit buku pertama yang saya jumpa - Hijjaz Records Publishing (HRP) pada bulan Mac 2011. Seminggu menatap dan membelek-belek manuskrip yang dihantar penerbit kemudian memberi kata putus, bersetuju. Senang kerja. Tidak perlu untuk mencari penerbit buku yang lain.

Tajuk asal yang saya cadangkan untuk buku ini ialah "Siapa Kuasai Dunia?". Setelah meneliti skrip, penerbit mencadangkan "Travelog Israel Kuasai Dunia". Setelah berfikir sebentar, tajuk yang dicadangkan penerbit lagi sesuai. Saya bersetuju. Saya mencadangkan tambahan perkataan 'misteri' pada tajuk. Maka terhasillah tajuk buku "Travelog Misteri Israel Kuasai Dunia".

Tidak lama selepas itu, penerbit memulangkan manuskrip saya untuk penambahbaikkan. Ada beberapa subjek dalam buku yang perlu saya ulas lebih terperinci. Seminggu saya menjadi cukup sibuk untuk 'menambahkan' lagi tulisan dalam buku. Cukup seminggu, saya datang balik dan hantar. Tidak lama selepas itu dipanggil lagi. Kali ini untuk 'final touch'. Mana-mana ada kesalahan dalam buku yang saya ingin perbetulkan. Memang terasa lain menulis buku berbanding menulis artikel. Jauh beza.

Tapi kepenatan nampak berbaloi. Buku sudah diterbitkan pada bulan Jun 2011. Boleh dibeli di kedai buku MPH seluruh negara. Saya pun sudah mula menurunkan autograf pada pembaca. Tiba-tiba macam jadi selebriti. :)