Jumaat, 28 Mei 2010

Sesi Beramah Mesra Bersama YABhg Tun Dr. Mahathir Mohamed


Pada hari Khamis, 27 Mei 2010 saya bersama sahabat-sahabat Jentayu Emas Trading (JET) telah melakukan kunjungan hormat ke pejabat YABhg Tun Dr Mahathir Mohamed di Aras 86, Menara 1, KLCC untuk sesi beramah mesra dan perbincangan mengenai perkembangan Dinar dan Dirham. Sesi beramah mesra yang dijadualkan bermula pada jam 3.30 petang telah dimulakan lebih kurang 15 minit kemudiannya.

Kami telah dibawa ke bilik mesyuarat yang bertentangan dengan bilik pejabat Tun. Sesi beramah mesra berlangsung di biik mesyuarat tersebut. Sesi dimulakan dengan saudara Nizam bercerita serba sedikit tentang latar belakang JET. Kemudian saya menceritakan kepada Tun tentang sejarah ringkas pendedahan awal kami mengenali Dinar dan Dirham.

Setelah itu, Tun mula bercerita panjang tentang idea Dinar Emas yang dilontarkannya sewaktu menjadi Perdana Menteri Malaysia. Tun memberitahu bahawa idea asalnya adalah untuk menjadikan Dinar Emas sebagai bayaran 'offset' dalam trade settlemen antara dua negara. Yang dicadangkan ketika itu adalah antara Malaysia dan Iran. Tapi sayangnya perkara itu tidak pun berlaku ketika beliau memegang jawatan Perdana Menteri.


Tun turut menyentuh tentang masalah umat Islam yang berpecah-belah. Sebagai contoh di banyak negara Islam pengikut fanatik mazhab Syiah membunuh pengikut mazhab Sunnah dan sebaliknya. Juga di kalangan negara-negara Arab yang terlalu mengagungkan orang Barat. Tun juga menyentuh tentang negara mereka yang mempunyai banyak sumber tetapi diserahkan sahaja kepada orang Barat untuk menguruskannya.

Kemudian saudara Sheikh melontarkan pandangan tentang penggunaan Dinar dan Dirham yang perlu dikembalikan. Sistem yang ada sekarang meletakkan orang ramai terperangkap untuk menjadi hamba dan ditindas.


Tun memberitahu kepada semua tentang pentingnya menyimpan emas. Dia sendiri yang telah banyak bercakap mengenainya sudah mula memulakan simpanan emas. Satu perkara menarik yang disentuh oleh Tun ialah tentang Yahudi yang banyak memperkenalkan sistem yang menguasai kita semua tanpa meletakkan nama Yahudi pada sistem tersebut. Berbeza dengan umat Islam yang suka meletakkan nama Islam pada setiap sistem yang cuba diperkenalkan. Ini mungkin menjadi masalah untuk menarik bukan Islam kepada sistem yang diperkenalkan. Tun pernah mencadangkan penggunaan Asian currency untuk negara-negara Asia dengan menggunakan emas. Ia bukanlah matawang yang digunakan oleh seluruh penduduk Asia melainkan sebagai mawatang antara kerajaan dengan kerajaan dalam menyelesaikan 'trade settlement' antara dua negara.

Ketika jam menghampiri 4.30 petang, Tun memaklumkan kepada JET tentang appointment beliau yang seterusnya. Jika ada masa lagi pada masa akan datang, Tun berkata mungkin JET boleh bertemunya lagi. Sebelum beredar, kami sempat bergambar bersama Tun.