Sabtu, 17 Oktober 2009

Kunjungan ke Kediaman Umar Ibrahim Vadillo



Pada 4 Oktober 2009, Ahad saya dan sahabat-sahabat dari Jentayu Emas Trading telah berkunjung ke kediaman Umar Vadillo di Kuala Lumpur. Jemputan telah disampaikan oleh isteri beliau, Alawiyah Abdul Rahman kepada sahabat saya, Muhammad Nizam Shaidon. Pertemuan diatur untuk berjumpa di kediaman mereka jam 4 petang. Namun atas faktor-faktor tertentu, hanya pada sekitar jam 5 petang kami sampai di sana.

Blog saya telah setahun saya tidak melakukan ‘update’kerana kesibukan kerja dan komitmen lain. Namun, saya berbesar hati kerana masih ada pengunjung blog termasuk Umar Vadillo sendiri dan isteri beliau. Sebelum ini saya hanya sempat berjumpa Umar Vadillo sebagai pendengar ketika beliau mengadakan satu syarahannya di Bukit Damansara sebelum ini. Ini kali pertama saya dan sahabat di Jentayu Emas Trading bersemuka empat mata dengan beliau.
Ketibaan kami telah disambut oleh Abd Ghani, sahabat dan anak angkat Umar Vadillo yang tinggal dalam kawasan kejiranan yang sama. Gani berasal dari Kazakhstan. Kemudian, apabila tiba di pintu kediaman, kami disambut oleh Umar dan isterinya, Alawiyah.
Dalam sembang-sembang petang di kediamannya, Umar banyak menyentuh tentang usaha untuk mengembalikan semula penggunaan dinar dan dirham sebagai matawang. Ia usaha untuk membebaskan umat Islam dalam sistem ekonomi sekarang yang banyak memberikan penindasan tanpa ramai orang tahu yang diri mereka terperangkap dalam sistem yang tidak betul. Usaha Umar telah bermula 2 dekad yang lepas.
Turut disentuh tentang perdebatan samada emas 916 (kandungan emas 91.6%) atau emas 999 (kandungan emas 99.9%) yang wajar dijadikan standard untuk dinar emas. Umar masih mempertahankan untuk menggunakan 916 berdasarkan kajian sejarah dan kesesuainnya untuk dijadikan matawang. Emas 916 adalah lebih ideal berbanding emas 999 untuk dijadikan matawang.
Umar masih berpendapat bahawa sistem perbankan Islam tetap haram kerana unsur riba yang ada padanya. Apa yang dikesalkan ialah sistem perbankan cuba 'diIslamkan' walhal sistem muamalat dalam Islam sudah sedia ada tanpa perlu diserapkan ke dalam sistem perbankan yang masih asasnya mengandungi riba yang terang-terang diharamkan dalam Islam.
Umar berharap usahanya yang dilakukan selama ini akan ada kesinambungan. Umar sangat berbangga kerana sudah ada generasi pelapis yang akan terus memperjuangkan usaha untuk mengembalikan dinar dan dirham sebagai matawang dan umat Islam dapat hidup dalam sistem ekonomi yang benar-benar berlandaskan agama bukan dicedok daripada sistem ekonomi barat.
Sepanjang sesi sembang-sembang, kami disajikan dengan sedikit jamuan ringan. Sebelum pulang, kami sempat bergambar bersama beliau.

*Nota: Umar Ibrahim Vadillo merupakan pejuang Dinar Emas terkemuka di peringkat antarabangsa sejak dua dekad lalu. Beliau kini merupakan penasihat Permodalan Kelantan Berhad (pengeluar Dinar Emas Kelantan).