
Malam tadi saya pasti ramai rakyat Malaysia yang menonton siaran debat 'Hari ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak', Anwar vs Shabery. Debat yang dijalankan sama seperti format debat calon Presiden Amerika. Kalau di Amerika setiap kali pilihanraya presiden, debat antara calon presiden dari Democrats vs calon Republican akan dipertontonkan secara langsung ke seluruh Amerika. Debat mungkin lebih daripada sekali sebelum pilihanraya bergantung kepada persetujuan kedua-dua pihak.
Di Malaysia, ini pertama kali debat sebegini disiarkan. Ini ekoron rakyat merasakan perlu untuk tahu lebih lanjut kewajaran kenaikan harga minyak. Di pihak Pakatan Rakyat pula, Anwar nampaknya menjuarai isu ini. Akhirnya, debat Menteri Penerangan vs Ketua Umum PKR pun dijalankan. Di dalam dewan debat berlangsung, dapat dilihat Ahli Parlimen PKR turun padang untuk memberi sokongan kepada ketua mereka.
'Opening statement' Anwar vs Shabery melihatkan Shabery agak kurang 'points' dan lebih menumpukan untuk menyerang peribadi lawan. Opening statement Anwar lebih meyakinkan. Bagaimana minyak boleh diturunkan secara umum dinyatakan. Wakil Shabery, Nordin Kardi yang bertanyakan soalan lebih menjengkelkan. Tidak habis-habis dengan 'premis'nya dan nampak seperti seseorang yang ingin mematikan pihak lawan dalam pertandingan debat sekolah menengah.
Walaupun kedua-kedua kuat dengan hujah masing-masing, saya nampak hujah Anwar lebih kuat dan meyakinkan. Bukan kerana cara Anwar berhujah atau ekspresi mukanya, tapi lebih kepada 'points' yang lebih kuat yang dibawa. Anwar dengan jelas menyatakan RM 5 billion tambahan diperlukan untuk menurunkan harga minyak sebanyak 50sen daripada harga sekarang. Kenaikan harga yang mendadak, tidak boleh diturunkan harga dengan mendadak.
Pengurangan subsidi boleh dilakukan dengan mengurangkan/menjimatkan penggunaan bahan bakar untuk menjana elektrik. Tenaga Nasional Berhad (TNB) dikatakan mempunyai “excess capacity” yang melebihi 1000 MW. Penjimatan kos ini juga boleh membuatkan tarif elektrik diturunkan. Ini bersangkut paut dengan perjanjian asal TNB & IPP yang dikatakan perlu di'review' kembali kerana selama ini perjanjian ini nampak sangat menguntungkan sebelah pihak.
Tentang hujah korupsi, saya tidak beberapa setuju. Adakah apabila Anwar berkuasa, kehilangan RM330 bilion (USD90 bilion) yang lesap kerana amalan rasuah boleh dihapuskan terus atau dikurangkan secara mendadak? Begitu juga dengan ketirisan subsidi diesel RM 70 juta. Kerana kenaikan global harga minyak yang agak luar biasa tahun ini, keuntungan Petronas pun naik lebih (untung bersih RM 61 billion) dibandingkan tahun lepas. Mungkin kerana ingin berkongsi mengurangkan beban rakyat, Petronas telah mengumumkan dividen tambahan RM 6 billion kepada kerajaan. Sekarang terpulang kepada kerajaan. Mungkin 1,2 atau 3 billion ringgit boleh digunakan untuk menstabilkan harga minyak sekarang.
Shabery yang banyak kali cuba membangkitkan nostalgia kenangan aktivit Anwar nampak lari dari topik asal perdebatan. Mungkin sekali-sekala dan tidak terlalu panjang boleh diterima. Tetapi serangan peribadi yang berulang-ulang menampakkan kelemahan sendiri yang tidak banyak 'points' bernas untuk diutarakan.
*Nota Tambahan
Semalam berdebat, hari ini 16 Julai Anwar telah pun ditahan polis dan dibawa ke IPK, Kuala Lumpur.
Anwar telah dibebaskan pagi ini 17 Julai atas jaminan polis.







